Ramadan, semua umat Islam mengetahui akan nikmat dan rahmat yang terdapat dalam bulan mulia ini. Pada bulan ini segala amal ibadah dan kebaikan yang dilakukan akan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda.
Bahkan sehingga datangnya satu Syawal, mereka seperti bayi yang baru saja dilahirkan kerana keihlasan mereka dalam beribadah itu.
Ramadan sebagai bulan yang mulia tidak sahaja datang dengan kelebihan dan hikmahnya, sudah tentu Allah sediakan kebaikan-kebaikan lain yang sangat bermakna untuk hamba-hambaNya.
#1 – Bulan Diturunkannya Al-Quran
Bulan Ramadan merupakan bulan turunnya kitab suci umat Islam iaitu al-Quran.
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 185, yang bermaksud;
Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 185, yang bermaksud;
“Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil).”
#2 – Pintu Syurga Dibuka, Pintu Neraka Ditutup
Dalam bulan Ramadan ini, Allah telah membuka selebar-lebarnya pintu syurga dan menutup rapat pintu-pintu neraka. Sabda Rasulullah saw;
“Jika datang Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan syaitan dibelenggu.”(Hadis Riwayat Muslim)
#3 – Terdapat Malam Lailatul Qadar
Pada 10 malam terakhir bulan Ramadan terdapat malam Lailatul Qadar, iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Jika malam-malam itu diisi dengan ibadah dan doa kepada Allah SWT, pasti keistimewaan malam tersebut akan diperoleh.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar (malam kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.”(al-Qadr: 1-3)
#4 – Bulan Pengampunan Dosa
Pada bulan Ramadan yang dijadikan Allah sebagai bulan beribadah ini, umat Islam diberi kesempatan untuk merebut pahala sebanyak-banyaknya. Bahkan dengan ibadah dan amal soleh yang ikhlas dan diterima, Allah menjadikan seseorang muslim itu sebagai bayi yang tidak ada apa-apa dosa lagi.
Sabda Rasulullah SAW;
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ihtisab, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu.”(Hadis Riwayat Bukhari)
#5 – Amal Soleh Yang Berlipat Ganda
Dalam bulan Ramadan ini, Allah menganugerahkan kepada hambaNya akan gandaan pahala yang berlipat kali ganda. Hadiah pahala ini hanya didapati dalam bulan Ramadan yang mulia ini sahaja, iaitu sehingga mencecah 70 kali ganda pahala atas amal ibadah kepada Allah SWT.
Khutbah Rasululah SAW pada akhir bulan Sya’aban;
“Wahai manusia, bulan yang agung, bulan yang penuh berkah telah menaung. Bulan yang didalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang padanya Allah mewajibkan berpuasa. Qiyamullail disunnahkan.Barang siapa yang pada bulan itu mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu kebaikan, nilainya seperti orang yang melakukan perbuatan yang diwajibkan pada bulan lainnya. Dan barang siapa yang melakukan suatu kewajiban pada bulan itu,nilainya sama dengan 70 kali lipat dari kewajiban yang dilakukannya pada bulan lainnya. Keutamaan sedekah adalah sedekah pada bulan Ramadan.”(Hadis Riwayat Bukhari danMuslim)
#6 – Bulan Keberkatan
Pada bulan Ramadan ini juga dijadikan Allah sebagai bulan yang penuh dengan keberkatan. Sangat beruntung jika sesiapa yang memperoleh keberkatan bulan ini melalui amal ibadahnya sepanjang bulan.
Namun, malang kepada sesiapa yang tidak memanfaatkan kemuliaan bulan ini dan dibimbangi dengan perkara yang lebih buruk lagi (tidak akan mendapat kebaikan) seperti dalam sabda Rasulullah SAW;
“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan yang penuh berkah. Allah mewajibkan kamu berpuasa, karena dibuka pintu- pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dibelenggu syaitan-syaitan, serta akan dijumpai suatu malam yang nilainya lebih berharga dari seribu bulan. Barangsiapa yang tidak berhasil memperoleh kebaikannya, sungguh tiadalah ia akan mendapatkan itu untuk selama-lamanya.”(Hadis Riwayat Ahmad, an-Nasa’i, dan Baihaqi)
#7 – Mendidik Diri Mencapai Taqwa
Dengan berpuasa seperti menahan haus, lapar, nafsu dan marah merupakan cara untuk mendidik diri menjadi lebih sabar dan bertaqwa. Dengan itu, Ramadan sebenarnya adalah pendidik yang membimbing umat Islam mencapai ketaqwaan.
Seperti firman Allah SWT;
Seperti firman Allah SWT;
“Hai orang-orang yang beriman diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”
Kesimpulannya, bulan Ramadan adalah bulan berkat yang penuh kemuliaan padanya. Dalam kesempatan yang dianugerahkan oleh Allah inilah seharusnya direbut dengan penuh bersunguh-sungguh agar segala kebaikan itu dapat diperoleh dan nikmat itu dapat dirasa.
Sungguh malang dan rugi andai segala hadiah dan peluang yang tiba setahun sekali itu dilepaskan tanpa apa-apa usaha untuk meraihnya. Ramadan itu adalah umpama tetamu yang datang bersama-sama hadiah untuk kita, semoga kita sentiasa menyambutnya dengan penuh kemuliaan dan keikhlasan.
0 comments:
Post a Comment